SEPANG – Cubaan seorang lelaki warga India menyeludup keluar lebih 2,500 ekor kura-kura ke negaranya gagal apabila ditahan di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (KLIA1), malam kelmarin.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, ketika kejadian suspek tersebut dijadualkan menaiki penerbangan ke Bengaluru, India.
Kata kenyataan itu, suspek bagaimanapun ditahan pada pukul 10.05 malam di pintu perlepasan kerana imbasan ke atas begnya menunjukkan imej mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut menemui ribuan kura-kura spesies Red-eared Slider dengan nilai anggaran RM348,000 yang disembunyikan di dalam bagasi tersebut.
“Kesemua hidupan liar itu telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AKPS berkata kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Tambah kenyataan itu, kejayaan ini adalah hasil pemeriksaan bersepadu dan kerjasama erat antara AKPS KLIA, Perhilitan, Keselamatan Penerbangan dan Malaysia Airports Holding Berhad dalam mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar yang semakin berleluasa.
“AKPS akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang menjejaskan biodiversiti negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE