GEORGE TOWN – Pemuda yang ditahan reman selepas disyaki menceroboh rumah milik seorang pempengaruh media sosial di Batu Maung di sini Isnin lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, pagi ini.
Pertuduhan terhadap suspek berusia 21 tahun itu akan dilakukan mengikut Seksyen 448 Kanun kerana menceroboh.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Suspek sebelum ini direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Terdahulu, media melaporkan suspek ditangkap oleh penghuni rumah berkenaan selepas berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal dipercayai selipar miliknya.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial selepas mangsa memuat naik video suspek yang dikatakan selamba memasuki kediamannya sebelum melarikan diri. -KOSMO! ONLINE