fbpx
Fadhlina (tiga dari kanan) hadir pada Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di Sekolah Kebangsaan Sinar Harapan, hari ini. - Foto DANIAL SAAD/KOSMO!

KPM setuju sekolah jadi sebahagian perancangan perumahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menetapkan supaya semua projek perumahan berskala besar dilengkapi kemudahan sekolah dan pusat kesihatan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata langkah itu bertepatan dengan usaha kementerian dalam menangani isu kepadatan murid di dalam kelas dan kesesakan lalu lintas, khususnya di kawasan pembangunan baharu.

“Kita menyokong penuh arahan tersebut kerana ia selari dengan keperluan sedia ada yang sering dibangkitkan kementerian.

“Setiap perancangan perumahan seharusnya disertakan perancangan sekolah kerana ketiadaan sekolah akan menimbulkan isu seperti kesesakan, kepadatan murid serta kekurangan ruang untuk menempatkan pelajar. Arahan ini sangat senada dengan perancangan kementerian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata buat pertama kalinya, Kerajaan Madani memperuntukkan dana khas sebanyak RM10 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan KPM melengkapkan kemudahan pembelajaran.

“Peruntukan ini menyokong institusi pendidikan khas swasta yang memberi tumpuan kepada pendidikan anak-anak autistik dan berkeperluan khas.

“Ia merupakan langkah penting yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang adil, inklusif dan berkualiti,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN