fbpx
TENGKU ZAFRUL pada sidang Dewan Rakyat hari ini. - Foto kredit Jabatan Penerangan Malaysia

Komitmen tarif 19 peratus AS tidak libat dana awam, tambah hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kesemua komitmen pembelian dan pelaburan Malaysia kepada Amerika Syarikat (AS) dalam mencapai tarif 19 peratus merupakan urusan komersial oleh syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, komitmen pembelian dan pelaburan itu tidak melibatkan dana awam mahupun menambah beban fiskal atau hutang negara.

“Mungkin ada yang bertanya apakah tawaran utama oleh Malaysia untuk mencapai kadar tarif 19 peratus? Jawapannya adalah satu pakej
menyeluruh yang berpaksikan kekuatan awam-swasta ekonomi negara kita.

“Saya tegaskan sekali lagi bahawa semua komitmen pembelian dan pelaburan ini merupakan urusan komersial oleh syarikat dan GLC Malaysia. Dengan pendekatan ini, kerajaan memastikan kebajikan rakyat dan kedaulatan fiskal negara tidak terjejas sama sekali,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia menawarkan komitmen pembelian dan pelaburan oleh syarikat swasta serta GLC utama meliputi AS$150 bilion dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan pusat data bagi tempoh lima tahun.

Menurut beliau, Malaysia juga menawarkan pembelian AS$19 bilion untuk pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) secara berperingkat sehingga tahun 2035.

Katanyanya, perolehan itu namun dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun yang bermaksud komitmen tahunan sekitar lapan peratus daripada KDNK atau 13.5 peratus daripada perbelanjaan swasta negara bagi tahun 2024.

“Jumlah ini setara dengan perbelanjaan operasi syarikat korporat dan GLC utama negara setiap tahun, sama ada untuk pembelian bahan mentah, pelaburan teknologi tau pembaharuan aset. Walaupun tarif ini tidak dikenakan, mereka masih perlu berbelanja jumlah itu,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia turut menawarkan konsesi tarif dengan menghapuskan atau mengurangkan tarif ke atas 98.4 peratus baris tarif produk Amerika Syarikat yang dieksport ke Malaysia, meliputi produk industri dan pertanian.

Bagaimanapun, katanya, daripada jumlah itu, hanya 60.4 peratus baris tarif dilaksanakan pada kadar duti sifar, manakala selebihnya melibatkan pengurangan kadar duti sehingga maksimum 15 peratus.

“Kadar duti sifar yang dilaksanakan pada 60.4 peratus tarif ini juga jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan beberapa negara lain yang dikenakan taraf timbal balas pada kadar yang hampir sama,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga memudahkan pelaksanaan beberapa langkah bukan tarif membabitkan pensijilan halal mengikut ketetapan Jakim, fasilitasi eksport daging dan produk tenusu dari AS serta penambahbaikan aspek pemantauan dan pematuhan piawaian buruh, alam sekitar serta hak harta intelek.

Bagaimanapun, katanya, tiada pengecualian penuh diberikan untuk duti eksais atau peraturan Approved Permit (AP) dalam sektor automotif dan Malaysia juga bersetuju untuk tidak mengenakan cukai digital yang diskriminasi ke atas AS.

Tambah beliau, Malaysia juga bersetuju memansuhkan keperluan sumbangan USP Fund bagi syarikat cloud, namun hak negara untuk mengekalkan kawalan terhadap infrastruktur kritikal sentiasa terpelihara.

“Bagi peringkat pelaksanaan kawalan eksport dan rantaian bekalan, Malaysia turut memperkukuh penguatkuasaan terhadap aktiviti ‘transshipment’ serta menguatkan kawalan eksport teknologi strategik, termasuk teknologi cip AI dan komoditi kritikal.

“Semua urusan pengeluaran Sijil Tempasal (COO) bagi tujuan eksport kini hanya boleh dilakukan oleh MITI, bagi memastikan pemantauan dan kepatuhan sepenuhnya kepada undang-undang dan dasar negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI