fbpx

Kelley Mack, bintang The Walking Dead meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERJUANG melawan kanser otak, pelakon siri televisyen popular The Walking Dead, Kelley Mack meninggal dunia di usia 33 tahun pada 2 Ogos lalu.

Berita duka pemergian Mack hanya dikongsikan saudara terdekatnya tiga hari kemudian dalam laman sosial yang menyebut seluruh ahli keluarga merasai kehilangannya.

“Tidak dapat digambarkan kesedihan, kami ingin memaklumkan mengenai pemergian Kelley tersayang, seorang insan yang bersinar telah ke tempat di mana akhirnya harus kita semua tuju.

“Kelley ditemani ramai insan yang dicintainya dan pergi dengan tenang. Beliau akan dirindui semua,” tulis kenyataan tersebut.

Aktres dan produser asal Cincinnati, Ohio itu difahamkan menghidap barah yang jarang ditemui disebut diffuse midline glioma iaitu tumor agresif di struktur garis tengah otak termasuk talamus dan sumsum tulang belakang.

Sekitar Januari lalu, pemilik nama lengkap Kelley Lynne Klebenow itu mendedahkan mengalami sakit belakang berpanjangan yang kemudian disahkan sebagai sejenis kanser astrocytoma.

“Akibat pembedahan biopsi pada sumsum tulang belakang, saya kehilangan fungsi kaki kanan dan sebahagian besar kaki kiri.

“Jadi sekarang saya hanya dapat berjalan dengan alat bantu jalan dan kerusi roda,” tulisnya.

Begitupun, Mack yang mengakui penyakit itu merupakan dugaan terbesar tetap tidak berhenti bersyukur kerana sentiasa dikelilingi insan tersayang.

“Saya sangat bersyukur memiliki keluarga dan kekasih yang menyuntik semangat dan penuh kasih sayang bersama saya pada setiap detik menghadapi proses ini,” ujarnya.

Mack membawa watak Addy dalam musim kesembilan The Walking Dead iaitu antara penduduk Koloni Hilltop yang berjuang bertahan dalam dunia pasca-apokalips.

Biarpun hanya tampil dalam lima episod antara 2018 dan 2019, kehadiran Addy dalam siri terbabit meninggalkan kesan mendalam bagi penggemar tegar.

Karakter lain yang menyerlah adalah Penelope Jacobs dalam musim kelapan siri Chicago Med selain peranan sebagai Alice menerusi filem seram, Broadcast Signal Intrusion.

Bahkan dimaklumkan, ketika berdepan masalah kesihatan beliau masih menerima tawaran daripada Universal Studio untuk filem yang dijadualkan ditayangkan tahun ini.

Terdahulu, mendiang menamatkan pengajian di Chapman University pada 2014 seterusnya bekerja di Los Angeles selama 10 tahun.

Selain berlakon, Mack juga aktif sebagai penerbit, penulis dan peminjam suara latar.

Keluarga mendiang memaklumkan majlis memperingatinya akan dianjurkan di Glendale, Ohio, pada 16 Ogos ini.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI