KANGAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 27,700 unit vape yang tidak diikrar menerusi pemeriksaan ke atas dua pikap Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada 17 Julai lalu.
Pemeriksaan sekitar pukul 12 tengah hari itu dilakukan oleh sepasukan anggota kastam Unit Narkotik Padang Besar ke atas dua pikap jenis Isuzu Dmax.
Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan menemukan sejumlah vape tidak diikrarkan yang dibawa bersama barangan runcit.
“Semua vape yang tidak diikrarkan ini adalah berjumlah 27,700 unit dan dianggarkan bernilai RM520,800,” katanya pada akhbar di Ibu Pejabat Kastam negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, pemeriksaan ke atas pikap pertama yang ditahan itu mendapati pemandunya membawa barangan runcit yang diikrarkan seperti Borang Kastam No.2 (K2).
Ujarnya, bagaimanapun, pemeriksaan ke atas pikap kedua mendapati pemandunya membawa barangan runcit bersama vape yang tidak diikrarkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Susulan penemuan itu, kastam juga telah merampas semua vape berkenaan termasuk sebuah pikap yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya. – KSOMO! ONLINE