fbpx
RAM (duduk kiri) bercerita tentang kejadian video tular kepada beberapa pengunjung yang menegurnya di sekitar pusat bandar Johor Bahru.

Kes tulang ayam: ‘Saya maafkan, tapi jangan buat lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Gelandangan yang menjadi mangsa kandungan video tular tiga lelaki memberi sisa makanan sebagai ‘sedekah’ minta agar perbuatan sama tidak berulang kepada mana-mana pihak lain.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ram, 49, itu juga memberitahu, dia memaafkan perbuatan tiga individu berkenaan yang telah merakam insiden tersebut tanpa pengetahuannya.

Katanya, dia sebenarnya terkejut apabila membuka bungkusan makanan itu dan mendapati terdapat sisa tulang di dalamnya.

“Saya tidak pasti apa tujuan mereka berbuat demikian. Saya hanya tahu kewujudan video itu selepas ia tular dan dimaklumkan oleh beberapa pengunjung di kawasan ini, mereka beritahu mereka jaga kecewa dengan kejadian tersebut.

“Saya tidak tahu apa kesilapan saya sehingga dilayan seperti itu, tetapi saya hanya fikir positif dengan menganggap mereka masih budak-budak kecil. Jadi saya maafkan mereka tetapi harap ia tidak berulang,” katanya ketika ditemui di pusat bandar raya ini.

Tambah Ram, dia berhijrah ke negeri ini dari Perak, namun sudah lama menjadi gelandangan setelah tidak lagi bekerja.

“Saya diberitahu pihak berkuasa telah ambil tindakan terhadap tiga remaja berkenaan, biarlah itu pihak berkuasa uruskan, saya tiada kaitan dengan perkara tersebut.

“Bagaimanapun setelah kejadian tular, ada beberapa pihak datang menyapa dan bertanya khabar selain turut menyumbangkan makanan, jadi saya sangat hargai perbuatan mereka,” jelasnya lanjut.

Minggu lalu, tular video berdurasi kurang seminit memaparkan tiga remaja lelaki sedang menikmati juadah ayam goreng sebelum meletakkan sisa tulang ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkannya kepada seorang lelaki gelandangan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI