fbpx
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin (tengah) pada Majlis Peluncuran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Liga Super IFC Musim 2025/2026, semalam.

IFC masih idamkan Stadium Darul Aman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC (IFC) terus berharap dapat menjadikan Stadium Darul Aman sebagai gelanggang tuan rumah pada musim ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya bercadang untuk menggunakan stadium tersebut bagi satu musim.

“Kami akan menulis (permohonan) kepada Stadium Darul Aman dan sementara menunggu jawapan, pasukan kena buat persiapan dahulu, jadi Stadium Batu Kawan akan menjadi ‘home ground’ pasukan buat masa ini.

“Sementara itu, Stadium Dato’ Sheikh Ahmad (Perlis) sedang melalui proses pengubahsuaian dan setelah selesai dalam masa dua hingga tiga bulan lagi iaitu sebelum hujung tahun ini, stadium itu juga akan menjadi pilihan kami,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Jersi dan Pengenalan Pemain Pasukan Liga Super IFC Musim 2025/2026 di sini malam tadi.

Namun begitu, katanya, pihaknya tetap berharap dapat menjadikan Stadium Darul Aman sebagai pilihan untuk IFC beraksi yang mana pasukan kini berlatih di Padang Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di sini.

“Tapi kalau yang terbaiknya jika Stadium Darul Aman dapat beri pilihan, kami bercadang untuk pajak satu musim. Pendapatan pun bagus untuk stadium sebab tak bertembung yang mana Liga Super main waktu malam, Liga A1 pula main petang. Jadi, ini peluang yang terbaik.

“Kami ada tiga pilihan stadium sekarang ini dan berniat nak main di situ (Stadium Darul Aman),” ujarnya.

Pada Jun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilapor tidak membenarkan IFC untuk mendaftarkan Stadium Darul Aman sebagai laman sendiri pasukan itu.

“Kenapa memilih utara? Kementerian Dalam Negeri (KDN) ada dua pasukan yang layak memasuki Liga Super. Dalam arena bola sepak tanah air, fokus banyak diberikan kepada Lembah Klang kerana di sana memang banyak pasukan.

“Jadi, di utara ini iaitu Perlis dan Kedah yang suatu ketika dahulu kuasa bola sepak tetapi tidak dapat menyertai Liga Super yang saingannya lebih tinggi, maka kami bawa salah satu daripada dua pasukan KDN untuk beraksi di kawasan utara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI