PETALING JAYA – Ibu kepada pelajar tingkatan 1, Allahyarham Zara Qairina akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman-rakaman audio perbualan telefon di antara dia dan anaknya.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama oleh peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili Noraidah Lamat iaitu ibu kepada Zara Qairina.
Noraidah, 45, akan menyerahkan telefonnya kepada polis pada petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di Kepayan bagi membantu melengkapkan siasatan pihak berkuasa.
Sementara itu, kenyataan tersebut turut menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang mengembalikan laporan penuh siasatan awal berkaitan kematian Allahyarhamah kepada Polis Diraja Malaysia semalam.
Menurutnya, pihaknya juga berterima kasih Jabatan Peguam Negara turut menyertakan arahan berhubung beberapa perkara tertentu untuk dilengkapkan sebelum mengambil tindakan lanjut.
Katanya, tindakan ini adalah selaras dengan salah satu daripada empat perkara yang dipohon oleh pihaknya dalam surat bertarikh 5 Ogos kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar.
“Kami berharap tiga perkara ini telah dimasukkan dalam arahan yang dimaksudkan di atas iaitu pertama, penyiasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman.
“Kedua, penggalian semula kubur Zara agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan ketiga satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara,” katanya.
Allahyarham Zara Qairina, 13 yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah. – KOSMO! ONLINE