fbpx
Kesemua tertuduh dibawa polis selepas prosiding di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Empat termasuk wanita didakwa penyeludupan migran di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Tiga termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan penyeludupan migran warga Sri Lanka, bulan lalu.

G. Santhiya Darshini, 27 dan Janarthanan Appupillai, 46 yang merupakan warga tempatan serta lelaki warga Sri Lanka, Vtheewaran Palani, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Ketiga-tiga tertuduh secara bersama-sama didakwa telah mengatur penyeludupan seorang lelaki migran warga Sri Lanka dalam transit menerusi Malaysia melalui udara di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26C Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Di mahkamah sama, migran terbabit iaitu Antany Sujan Antany Ranjan, 21, juga mengangguk faham atas pertuduhan memiliki satu pasport palsu atas nama orang lain bagi maksud memudahkan penyeludupan migran.

Kesalahan itu dilakukan di pintu pelepasan antarabangsa KLIA kira-kira pukul 10.25 malam pada 10 Julai.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 26E ATIPSOM 2007 yang memperuntukkan penjara antara tujuh hingga 15 tahun dan denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh berikutan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Justeru, Timbalan Pendakwa Raya Anisah Pisol dan Norhidayah Abdullah Sani memohon kes-kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Tiada jaminan ditawarkan dengan segala proses permohonan berkaitannya boleh dibuat di Mahkamah Tinggi nanti,” katanya.

Tiga tertuduh warga tempatan masing-masing diwakili Peguam William Edwin, Donald Selvam dan C. Surenthran manakala Antany Sujan tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI