PETALING JAYA – Malaysia terus menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.1 peratus dengan nilai ekonomi mencecah RM1.65 trilion pada tahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbahan positif tersebut dipacu oleh pelbagai sektor utama serta permintaan domestik yang kukuh meskipun berdepan risiko ketidaktentuan global sepanjang tahun lalu.
Jelasnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar ekonomi negara merekodkan pertumbuhan yang mana 5.3 peratus didorong terutamanya oleh industri berorientasikan pelancongan.
Manakala, sektor pembuatan meningkat 4.2 peratus disokong oleh permintaan produk wlektrik & elektronik (E&E) global yang lebih kukuh.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan turut diperlihatkan menerusi prestasi ekonomi di semua negeri yang merekodkan pertumbuhan positif pada tahun 2024.
“Lima negeri yang menunjukkan prestasi cemerlang, mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional sebanyak 5.1 peratus, iaitu Johor (6.4%), Selangor (6.3%), W.P. Kuala Lumpur (6.2%), Pahang (5.7%) dan W.P. Labuan (5.4%).
“Sementara itu, Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang kekal sebagai lima negeri penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan sumbangan kumulatif sebanyak 68.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, meskipun ketegangan perdagangan sepanjang tahun lalu memberi tekanan terhadap rantaian bekalan dan pasaran eksport global, nilai eksport Malaysia meningkat 5.8 peratus iaitu RM1.5 trilion berbanding RM1.4 trilion yang direkodkan pada tahun 2023.
Ujar beliau, pengukuhan nilai eksport itu dipacu oleh barangan elektrik dan elektronik yang memulih 4.5 peratus setelah merekodkan penyusutan 3.0 peratus pada tahun sebelumnya.
“Sementara itu, import Malaysia turut meningkat 13.1 peratus, mencecah RM1.4 trilion pada tahun 2024, sejajar dengan pengukuhan permintaan domestik dan pelaburan.
“Nilai eksport yang melebihi import telah mendorong lebihan dagangan Malaysia berjumlah RM139.1 bilion, manakala nilai perdagangan melonjak 9.2 peratus kepada RM2.9 trilion, berbanding kemerosotan 7.3 peratus pada tahun 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE














