IPOH – Seorang ejen mesin penapis air terkejut apabila menemui mayat seorang wanita dalam keadaan kembung dan berbau busuk di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya, Chemor di sini hari ini.
Mayat mangsa berusia 67 tahun itu dijumpai dalam keadaan terlentang di ruang tamu rumah kira-kira pukul 4.20 petang.
Saiful Baharin Aminuddin, 45, berkata, dia datang ke rumah wanita itu untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan berkala mesin penapis air selepas mangsa gagal dihubungi sejak beberapa hari lalu.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, dia mendapati rumah berkenaan dipenuhi semak dan berkunci dari dalam.
“Disebabkan perasaan curiga, saya intai melalui cermin tingkap bawah yang pecah sebelum ternampak mangsa dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
“Sebelum sampai ke pintu rumah pun saya ada bau sesuatu yang busuk seperti bangkai dan mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kerja-kerja penyelenggaraan mesin penapis air di rumah mangsa dilakukan setiap dua bulan dan kali terakhir dia datang ke rumah wanita itu pada Jun lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dalam keadaan hampir reput itu dan siasatan lanjut kes tersebut sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE