RANTAU PANJANG – Penyanyi lagu Bea Soba Bea, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 33, dan rakannya, Nur Aida Mamat, 33, sudah memasuki Kelantan sebelum terus dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang di sini.
Terdahulu, kedua-dua mereka dibawa menaiki van Jabatan Imigresen Thailand ke Kompleks Imigresen Sungai Golok seterusnya ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Mereka kemudian dibawa menaiki kenderaan polis ke Balai Polis Rantau Panjang untuk diambil keterangan.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Eda Ezrin dan Nur Aida Mamat, 33, dibebaskan dan pulang ke Kelantan pada malam ini.
Jurucakap Pejabat Imigresen Sungai Golok berkata, empat lagi rakyat Malaysia, suami kepada Eda Ezrin, Mohd. Affendi Ahmad, 35, suami Nur Aida iaitu Mohamad Alif Deraman, Eridieka Mohd. Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26, masih ditempatkan di pejabat tersebut.
Menurutnya, empat rakyat Malaysia itu masih belum melengkapkan beberapa dokumentasi di pejabat imigresen sebelum dibenarkan pulang ke Kelantan.
“Penyanyi, Eda Ezrin dan Aida dibenarkan pulang ke Kelantan malam ini. Empat lagi rakyat Malaysia pula perlu melengkapkan beberapa dokumentasi lagi.
“Jadi, hanya dua rakyat Malaysia boleh pulang hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, trak yang membawa keenam-enam rakyat Malaysia itu tiba di pekarangan Pejabat Imigresen Sungai Golok kira-kira pukul 5 petang waktu Thailand.
Bagaimanapun, mereka dibawa secara ‘senyap-senyap’ melalui pintu belakang oleh pihak penjara ke pejabat imigresen tanpa dapat dihidu oleh keluarga dan pihak media
Seluruh ahli keluarga enam rakyat Malaysia itu terpinga-pinga apabila dimaklumkan trak tersebut sudah berada di pekarangan pejabat tersebut. – KOSMO! ONLINE