fbpx
PELAJAR SK Darulaman Heights menunjukkan pingat dan sijil yang diraih dalam Pertandingan Matematik pada Program Pertukaran Belia Antarabangsa Korea 2025 di Korea Selatan pada bulan lalu. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

Dua pelajar SK Darulaman Heights rangkul pingat emas di Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Dua pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Heights meraih pingat emas dalam Pertandingan Matematik bersempena Program Pertukaran Belia Antarabangsa Korea 2025, baru-baru ini.

Program tersebut berlangsung di Universiti Daejin, Yangju City, Seoul, Korea Selatan dari 24 hingga 29 Julai lalu.

Pelajar terbabit ialah Muhammad Asiff Helmi, 10, dan Nur Auni Amani Mohd. Asri, 12, bagi kategori individu.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Hafiy Ukashah Khairul Faizi, 12, muncul juara bagi kategori berkumpulan.

Menurut Guru Besar SK Darulaman Heights, Mafezzul Mohamad, seramai 15 pelajar tahun empat hingga enam menyertai program antarabangsa tersebut dan berjaya membawa pulang masing-masing dua pingat emas dan perak serta lapan gangsa.

“Alhamdulillah, pencapaian ini amat kita banggakan kerana secara tidak langsung ia mengharumkan nama sekolah, negeri Kedah dan seterusnya Malaysia.

“Pertandingan ini disertai beberapa sekolah lagi dari Kedah serta dari Thailand, Indonesia dan Korea Selatan sendiri,” katanya di sini.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kesinambungan dan keberkesanan pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) yang dilaksanakan di sekolah tersebut.

“Selain itu, ia juga merupakan hasil usaha gigih semua guru dan pelajar terlibat yang membuat persiapan bersungguh-sungguh kira-kira dua minggu sebelum program berlangsung.

“Tahap soalan Matematik yang perlu dijawab adalah sehingga aras menengah, dengan kebanyakannya melibatkan penyelesaian masalah dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT),” jelasnya.

Sementara itu, Nur Auni Amani mengakui agak gementar apabila perlu bersaing dengan pelajar dari negara lain.

“Soalan-soalan Matematik memang susah nak jawab sebab berbentuk KBAT, luar kotak. Saya buat yang terbaik dan reda. Alhamdulillah, dapat emas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI