GEORGE TOWN – Dua beranak mengalami kecederaan melecur ketika menyelamatkan diri dari kediaman mereka yang terbakar di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas di sini, tengah hari tadi.
Mangsa, Mazlan Mohamad Sharif, 54, melecur ringan pada belakang badan manakala anak perempuannya, Marhaini Syuhada Mazlan, 19, melecur pada pada kaki.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 12.30 tengah hari tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Hirman Mat Rodzi bersama Komander Operasi Kanan Zon 2, Penguasa Bomba Mohd. Rizuan Ramli.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas B dengan anggaran kemusnahan keseluruhannya adalah 90 peratus bagi unit pertama dan 10 peratus untuk unit kedua.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran. Komander Operasi lapor kebakaran melibatkan dua mangsa melecur tahap satu masing-masing pada belakang badan dan kaki.
“Kebakaran telah dapat dikawal pada pukul 12.48 tengah hari tadi dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 13.10 tengah hari,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dijalankan dan diserahkan kepada Pihak Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan selanjutnya bagi mengenal pasti punca serta jumlah kerugian yang dialami mangsa.
Kosmo! difahamkan, kebakaran yang berlaku tidak menghalang operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). -KOSMO! ONLINE