KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) merancang untuk memasang pintu antara platform dan rel di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) bagi mengelak insiden seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) penglihatan maut akibat digilis tren berulang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, reka bentuk stesen LRT tidak dilengkapi pintu keselamatan platform dikenal pasti sebagai antara punca insiden tersebut berlaku.
Menurutnya, stesen rel terdahulu direka bentuk tanpa penghadang fizikal, tetapi kemudahan terkini seperti stesen Transit Aliran Massa (MRT) dilengkapi sistem keselamatan berkenaan.
“Untuk melaksanakan ini (pemasangan pintu di stesen lama) memerlukan perbelanjaan yang cukup besar kerana kita kena reka bentuk semula semua stesen rel ini dan juga memerlukan masa yang panjang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung tragedi seorang lelaki OKU penglihatan maut akibat terjatuh dan digilis tren di Stesen LRT Wangsa Maju pada Februari lepas.
Anthony Loke berkata, buat masa ini, polis bantuan ditempatkan di stesen-stesen terbabit untuk membantu golongan OKU yang menggunakan perkhidmatan LRT.
Kata beliau, kerajaan juga sedang menaik taraf kemudahan mesra OKU di stesen-stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang lama dan di luar bandar. – KOSMO! ONLINE