KUALA LUMPUR – Seramai 6,744 individu di Malaysia memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang Penjagaan dan Perkhidmatan Komuniti.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seramai 43,869 lagi memiliki kemahiran profesional dalam pengasuhan kanak-kanak.
“Mereka ini memiliki kemahiran dan kelayakan untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan secara formal,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) berhubung jumlah pekerja informal dalam sektor ekonomi penjagaan yang telah didaftarkan oleh kementerian.
Menjawab soalan seterusnya, Nancy berkata, data rasmi KPWKM yang boleh digunakan untuk merujuk kepada individu yang memberikan penjagaan tidak formal pula adalah data penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jelas beliau, bagi yang layak, kerajaan menerusi JKM menyediakan bantuan kebajikan bulanan bagi meringankan beban individu yang memberikan penjagaan kepada ahli keluarga mereka yang terlantar dan uzur menerusi Bantuan Pesakit Kronik Terlantar.
“Sehingga April 2025, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM59.6 juta kepada 31,138 penerima bantuan ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan sedang menggubal Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 sebagai panduan menyeluruh bagi persediaan menghadapi cabaran penuaan negara.
Ujar beliau, ia merangkumi pelan tindakan jangka pendek, sederhana serta panjang dan perlu dilaksanakan merentasi setiap kementerian dan agensi yang berkaitan.
“KPWKM juga merancang melancarkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026-2030 yang akan turut meliputi aspek keselamatan dan perlindungan, pembelajaran sepanjang hayat serta penglibatan dan kesepaduan antara generasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE