KUALA LUMPUR – Delegasi dari Kemboja dan Thailand tiba di Wisma Perwira, hari ini bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
Kedua-dua delegasi tiba sekitar pukul 2 petang, susulan sesi kumpulan kerja bersama yang berlangsung sejak Isnin lalu sebagai persediaan kepada mesyuarat rasmi GBC.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat bersama Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphani di Kompleks Perdana Putra.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata, menerusi hasil perbincangan itu, kedua-dua negara mengatakan kesediaan agar Malaysia terus memainkan peranan sebagai penyelaras utama.
Sebelum ini, Kosmo! turut melaporkan bahawa mesyuarat GBC diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan usaha menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara jiran itu. – KOSMO! ONLINE