PUTRAJAYA – Pelaksanaan program tahun pertama di bawah Belanjawan 2026 perlu selari dengan kerangka besar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terutamanya dalam menaikkan lantai dan mengawal siling agar pertumbuhan ekonomi tidak meninggalkan golongan rentan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan ‘lantai dan siling’ merupakan prinsip asas dalam memastikan strategi pembangunan negara memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Katanya, ia bukan sekadar angka pertumbuhan atau jumlah pelaburan semata-mata.
“Kalau kita hanya bicara soal pertumbuhan dan pelaburan tanpa memikirkan soal lantai, ia menjadi masalah.
“Harga barang tak akan susut, malah naik. Jadi, kalau gaji rakyat tidak naik setimpal, tekanan kos sara hidup akan terus membebankan,” katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Anwar berkata, selain itu, Belanjawan 2026 akan memberi keutamaan kepada program-program yang menyantuni masalah rakyat, dengan pendekatan libat urus yang melibatkan masyarakat sivil, sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurutnya, respons sektor swasta juga amat memberangsangkan khususnya terhadap inisiatif Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat di mana syarikat-syarikat besar tampil menaja kemajuan komuniti secara langsung.
“Kita cadangkan seribu sekolah angkat diambil oleh syarikat swasta dan GLC. Setakat ini, sasaran itu telah tercapai.
“Ada juga kampung yang beli dron, ikan, lembu, malah traktor semua ini hasil daripada mereka sendiri menguruskan dana yang diberi,” jelas beliau.
Melalui inisiatif Sejahtera Madani, setiap kampung Felda dan komuniti miskin bandar diberikan peruntukan RM100,000 dengan autonomi penuh untuk mengurus dan melaksanakan projek mengikut keperluan tempatan.
“Kita beri dana, tapi keputusan sepenuhnya diserahkan kepada jawatankuasa kampung – belia, wanita, surau. Inilah model ‘kerajaan mendengar rakyat’ yang kita mahu bangunkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE