KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf peranan signifikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam merintis jalan perdamaian antara Thailand dan Kemboja susulan ketegangan di kawasan sempadan.
Menurut Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan, kejayaan penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) mencerminkan kewibawaan Malaysia dalam menyatukan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik.
“Ini adalah satu lagi contoh peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mempertemukan pihak-pihak yang terlibat.
“Semua pihak amat menghargai kepimpinan Malaysia, termasuk penglibatan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat tertinggi, serta usaha gigih Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat GBC di sini hari ini.
Sementara itu, Kagan menegaskan komitmen AS untuk terus menjalin kerjasama erat dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, selain dengan negara-negara anggota lain bagi memastikan ASEAN kekal memainkan peranan berkesan dalam merapatkan hubungan antara Kemboja dan Thailand.
Beliau turut mengingatkan bahawa meskipun persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata merupakan satu pencapaian penting, ia hanya merupakan langkah awal kepada proses perdamaian yang lebih menyeluruh.
Jelas beliau, matlamat jangka panjang adalah untuk memastikan gencatan senjata itu benar-benar kukuh, berkekalan dan dihormati sepenuhnya oleh kedua-dua negara.
“Mekanisme yang sedang dilaksanakan ketika ini diyakini penting bagi memastikan proses pemantauan berjalan dengan lancar, telus dan berkesan.
“Lebih penting, kami percaya bahawa apa yang telah berlaku menunjukkan kedua-dua kerajaan benar-benar berkomitmen, dan AS akan memantau dengan teliti agar komitmen ini terus dikekalkan,” ujarnya.
Selain itu, Kagan memaklumkan bahawa Presiden AS, Donald Trump meletakkan isu konflik antara Thailand dan Kemboja sebagai keutamaan tertinggi. – KOSMO! ONLINE