WASHINGTON – Apple akan membuat pelaburan tambahan AS$100 bilion (RM4.2 bilion) di Amerika Syarikat(AS), menjadikan jumlah pelaburan yang dijanjikan dalam tempoh empat tahun akan datang meningkat kepada AS$600 bilion (RM2.5 trilion), kata Presiden Donald Trump.
Trump mengumumkan peningkatan komitmen itu di White House bersama Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook semalam.
“Ini adalah pelaburan terbesar pernah dibuat Apple di Amerika.
“Apple akan meningkatkan perbelanjaan secara besar-besaran untuk rantaian bekalannya di dalam negara,” kata Trump pula, menyoroti kemudahan pengeluaran baharu untuk kaca yang digunakan bagi membuat skrin iPhone di Kentucky.
Pada Februari lalu, Apple menyatakan bahawa ia akan membelanjakan lebih AS$500 bilion (RM2.1 bilion) di AS dan mengambil 20,000 pekerja, dengan Trump pantas mengambil kredit untuk keputusan itu.
“Tahun ini sahaja, pengeluar-pengeluar tempatan berada di landasan untuk membuat 19 bilion cip bagi Apple di 24 kilang dalam 12 negeri berbeza,” kata Cook di White House.
Trump yang sebelum ini mendesak syarikat-syarikat AS membuka kilang di tanah air sendiri dengan mengenakan tarif tinggi ke atas rakan-rakan dagangannya, mendakwa bahawa pentadbiran beliau seharusnya dipuji berhubung pelaburan itu.
“Ini adalah langkah penting ke arah matlamat utama dalam memastikan iPhone yang dijual di Amerika juga dibuat di Amerika,” kata Trump.
Trump telah berulang kali berkata, beliau merancang untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas import semikonduktor dari Taiwan, Korea Selatan, China dan Jepun.
“Kami akan mengenakan tarif yang sangat tinggi ke atas cip dan semikonduktor,” katanya. – AGENSI