ALOR SETAR – Seorang anggota polis lelaki berpangkat koperal maut akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki empat penjenayah dalam kejadian di Taman Golf, di sini petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada anggota badan.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa terbabit bersama empat lagi anggota pergi ke sebuah kediaman di perumahan tersebut yang disyaki berlaku kejadian pecah rumah.
“Mangsa yang baru turun kereta untuk memeriksa rumah tersebut kemudian dirempuh SUV dinaiki penyamun ketika cuba mahu melarikan diri.
“Anggota itu dirempuh dan dipercayai digilis sehingga meninggal dunia. Seorang suspek berjaya ditahan tidak jauh dari rumah, manakala tiga lagi melarikan diri dengan SUV tersebut sebelum kesemuanya berjaya ditahan di Kepala Batas,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini. – KOSMO! ONLINE