fbpx
LTdL25 menjanjikan pertempuran sengit dengan melibatkan 22 pasukan

Ketiadaan juara bertahan lonjak cabaran LTdL 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketiadaan juara keseluruhan edisi lalu, Max Poole dan Raja Pecut 2023, Simon Pellaud tidak akan menjejaskan aura dan prestij perlumbaan berbasikal  Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.

Sebaliknya, perlumbaan edisi ke-29 yang dijadual berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober ini dijangka lebih terbuka dan kompetitif, dengan penyertaan tiga pasukan WorldTeam, lapan ProTeam dan 11 pasukan lain termasuk pasukan kebangsaan Malaysia.

KETUA Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal yakin perlumbaan berprestij negara itu tetap menjanjikan saingan sengit.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, edisi kali ini tetap menjanjikan saingan sengit, lebih-lebih lagi dengan pengesahan penyertaan beberapa pelumba elit Eropah yang memiliki reputasi tinggi di pentas Grand Tour.

“Tiga WorldTeam yang sudah sah adalah XDS Astana Team dari Kazakhstan, Team Picnic PostNL dari Belanda (dahulunya DSM-Firmenich PostNL) dan Cofidis dari Perancis.

“Kami difahamkan Picnic PostNL akan menurunkan Fabio Jakobsen, Uno-X Mobility menyenaraikan Alexander Kristoff, manakala Tudor meletakkan pakar pecut, Alberto Dainese.

“Ini satu penghormatan besar buat LTDL kerana ketiga-tiga pelumba ini bukan calang-calang mereka ada koleksi kemenangan dalam Tour de France, Giro d’Italia serta perlumbaan klasik di Eropah,” katanya pada sidang media pengumuman pasukan, hari ini.

Emir turut mengingatkan bahawa senarai pelumba yang diumumkan masih tertakluk kepada perubahan saat akhir, berdasarkan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang menetapkan tarikh akhir penyerahan hanya 72 jam sebelum perlumbaan bermula.

“Biasanya pasukan hantar lebih awal sebab melibatkan urusan logistik dan visa, tapi setiap tahun kita tetap saksikan kejutan. Ini realiti LTDL, yang memang terkenal dengan kejutan saat akhir,” ujarnya.

Selain pasukan WorldTeam, enam daripada lapan ProTeam yang bakal bertanding juga bukan asing di pentas Grand Tour.

Tiga pasukan pernah beraksi dalam Tour de France musim ini iaitu Total Energies, Tudor Pro Cycling Team dan Uno-X Mobility, manakala VF Group–Bardiani CSF–Faizane dan Team Polti–VisitMalta dari Itali merupakan penyertaan tetap Giro d’Italia.

Pasukan Sepanyol, Burgos-BH pula membawa pengalaman dari Vuelta a Espana. Dua lagi pasukan ProTeam ialah pendatang baharu Unibet-Tietema Rockets (Perancis) dan Team Solution Tech–Vini Fantini (Itali).

Saingan 2025 juga menyaksikan penyertaan 10 pasukan Continental termasuk dua wakil tempatan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) selain skuad kebangsaan negara.

Tujuh pasukan lain yang kembali menyertai LTDL ialah Nusantara-BYC (Indonesia), HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO Professional (Korea Selatan), St George Continental Cycling Team (Australia), 7Eleven Cliqq Roadbike (Filipina) dan Thailand Continental Cycling Team. Chengdu DYC Cycling Team dari China pula bakal membuat penampilan sulung dalam jelajah ini.

LTDL 2025 akan merentasi kesemua 12 negeri di Semenanjung Malaysia meliputi jarak keseluruhan sejauh 1,257.8 kilometer dengan lapan peringkat perlumbaan yang direka untuk menguji keupayaan taktikal dan fizikal setiap pasukan tanpa kehadiran pendakian ikonik Genting Highlands, sekali gus menjadikan saingan lebih terbuka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI