TAIPING – Sebanyak 2.1 juta batang rokok seludup bersama pelbagai barang kes lain dianggarkan bernilai RM355,292 dilupuskan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada Majlis Pelupusan Mega Barang Kes 2025 di pekarangan IPD berkenaan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pelupusan itu melibatkan 40 kertas siasatan yang telah selesai dari 2011 hingga 2025, merangkumi kes seperti penyeludupan, perdagangan mata wang digital, perjudian, mercun serta kes-kes am lain.
Menurut beliau, antara barangan kes yang dilupuskan melibatkan 10,470 karton rokok pelbagai jenama yang hampir bersamaan 2.1 juta batang rokok, hasil rampasan daripada tujuh kertas siasatan yang diselesaikan antara 2013 hingga 2022 dengan nilai rampasan dianggarkan RM266,788.45.
“Turut dilupuskan ialah 427 unit mesin bitcoin pelbagai jenama hasil rampasan daripada 10 kertas siasatan antara 2021 hingga 2023 dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM106,750,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelupusan berkenaan yang diadakan di pekarangan IPD Taiping di sini.
Beliau berkata, bagi kategori arak seludup, sebanyak 632 tin dan 44 botol arak pelbagai jenama turut dimusnahkan melibatkan dua kertas siasatan yang telah selesai antara 2019 hingga 2024 dengan nilai rampasan sebanyak RM1,753.55.
“Keseluruhan nilai rampasan bagi barangan kontraban yang dilupuskan adalah sebanyak RM283,542,” katanya.
Selain itu, Mohamad Nasir berkata, barangan lain yang turut dilupuskan termasuk 130 kotak dan 41 bungkus mercun pelbagai jenama melibatkan lapan kertas siasatan dari 2012 hingga 2024 dengan nilai anggaran RM15,000. – KOSMO! ONLINE