PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menyerahkan semula laporan penuh siasatan laporan penuh siasatan awal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, laporan itu diserahkan semula kepada PDRM bagi pihak berkuasa itu melengkapkan siasatan kes.
“Bukan IP (kertas siasatan) tapi laporan (penuh siasatan awal). Kita dah bagi arahan tertentu, maknanya ada beberapa benda yang kita kena ‘compile’ (susun) balik.
“Kalau nak pergi secara terperinci, saya tidak boleh hendak cakap di sini tetapi ada beberapa perkara yang perlu dilengkapkan. Saya tidak boleh nak dedahkan apa dia,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan Ketua Hakim Negara yang baharu di Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak boleh memaklumkan tindakan yang akan diambil kepada sesiapa pada masa ini atau inkues dijalankan (bagi menyiasat kematian mangsa).
“Kita kena pastikan ini adil, buat masa ini saya tidak boleh dedahkan apa-apa kerana siasatan masih dijalankan,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, AGC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal berhubung kes kematian remaja itu.
Kata AGC, proses penelitian itu merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan.
Ia yang mana bagi memastikan keputusan diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi setiap keadilan.
“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan lanjut menyatakan AGC turut menghargai kerjasama semua pihak dan menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat sebarang kenyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan.
Terdahulu PDRM telah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian Allahyarham Zara Qairina kepada AGC.
Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, ibu Zara membuat laporan polis di Balai Polis Sipitang selepas teringat melihat kesan lebam pada belakang anaknya ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu.
Allahyarham Zara Qairina, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke hospital oleh pihak sekolah.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE