fbpx
AKPS mengesahkan video yang dimuat naik pemilik akaun Hermono Kedutaan itu adalah palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi AI atau deepfake.

[VIDEO] Video ‘deepfake’ AI Ketua Pengarah AKPS palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menafikan kandungan sebuah video tular di TikTok yang memaparkan Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Sebaliknya, video yang dimuat naik oleh pemilik akaun Hermono Kedutaan itu disahkan palsu dan dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau deepfake.

Menurut kenyataan AKPS, penghasilan dan penyebaran video berkenaan adalah cubaan berniat jahat untuk menjatuhkan imej, mencemar reputasi serta menjejaskan integriti Ketua Pengarah AKPS dengan tujuan mengelirukan orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dan berhati-hati dengan kandungan yang disiarkan di media sosial. Jangan sesekali menyebarkan video tersebut kerana ia satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata kenyataan itu hari ini.

AKPS berkata, walaupun kemajuan teknologi AI dialu-alukan, penyalahgunaan secara tidak beretika bagi tujuan memfitnah dan menjatuhkan maruah individu adalah tidak boleh diterima sama sekali.

Agensi itu memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut dan memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu atau mana-mana pihak yang terbabit dalam penghasilan serta penyebaran video palsu itu.

Terdahulu, rakaman video berdurasi 18 saat yang tular itu menunjukkan seolah-olah Mohd Shuhaily mempromosikan khidmat ‘Hermono’ sebagai pihak yang boleh membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan pasport dan dokumen lain.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI