GEORGE TOWN – Seorang pekerja kaunter sebuah muzium dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan warga Korea Selatan, minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Chong Khay Tee, 18, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut kertas pertuduhan, Khay Tee didakwa telah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak warga Korea Selatan berusia enam tahun di muzium permainan kanak-kanak di sebuah hotel di Batu Ferringhi di sini pada pukul 4 petang, 31 Julai lalu dan pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya memohon agar mahkamah mengurangkan jaminan memandangkan dia hanya bekerja sebagai penjaga kaunter.
“Saya tidak tahu nak cakap apa, saya mohon jaminan dikurangkan,” katanya yang kelihatan bingung sepanjang berada di mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM8,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada.
Sebutan semula kes ditetapkan 6 Oktober depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE