BANGKOK — Seorang pemilik rumah di Thailand berdepan detik cemas apabila menemui seekor ular sawa sepanjang 5 meter melingkar di sebuah bilik yang menempatkan 10 ekor kucing peliharaannya, lapor portal berita Bangkok Post.
Kejadian berlaku di daerah Bang Yai, pagi semalam.
Menurut pemilik rumah berkenaan, bilik tersebut menempatkan 10 ekor kucing baka Scottish Fold termasuk dua jantan, lima betina dan tiga anak.
“Reptilia itu dipercayai masuk melalui celah siling ketika rumah saya sedang menjalani pengubahsuaian,” katanya.
Dua anggota dari Pusat Pencegahan dan Mitigasi Bencana 191 Nonthaburi bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan sekitar pukul 7 pagi (waktu tempatan).
Seorang anggota dikenali sebagai Buppha berkata, semua kucing berada dalam keadaan selamat.
“Kami menggunakan alat khusus untuk menangkap dan memegang kepala ular itu sebelum membawanya keluar dari rumah.
“Ia kemudian dilepaskan ke habitat semula jadi yang jauh dari kawasan perumahan,” tambah Buppha. – AGENSI