KUALA KRAI – Tiga beranak nyaris maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Kilometer 58, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu dekat Kampung Air Keroh, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang itu, ketiga-tiga ahli keluarga yang berusia dalam lingkungan 11 hingga 50 tahun itu hanya cedera ringan apabila mereka sempat keluar menyelamatkan diri sebaik sahaja kereta jenis Proton Saga terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Durian, Juniman Junoh berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.52 petang sebelum bergegas ke lokasi untuk memadam kebakaran kereta yang sudah terbalik.
Menurutnya, anggota bomba mendapati, pemandu dan dua penumpang sempat keluar menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran itu.
“Kesemua mangsa dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut. Anggota bomba mengambil masa kira-kira 25 minit untuk memadam api yang membakar hampir keseluruhan kereta tersebut,” katanya.
Juniman memberitahu, siasatan mendapati, kereta terbabit dipercayai terbabas dan terbalik sebelum terbakar. – KOSMO! ONLINE