KUALA LUMPUR – Projek perumahan berskala besar perlu mewujudkan infrastruktur pendidikan seperti sekolah dan taska selari dengan konsep Madani yang diterapkan oleh kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan rakyat khususnya ibu bapa tidak terbeban dengan kos pengangkutan untuk menghantar anak ke sekolah yang terletak jauh dari kawasan perumahan.
Katanya, jika tiada infrastruktur pendidikan diwujudkan, maka pembangunan perumahan harus ditangguhkan sehingga syarat-syarat konsep Madani dipenuhi.
“Konsep perumahan besar terutama 3,500 unit arahan saya jelas, mesti menyediakan prasarana sekolah. Ada sekolah dekat? Sekolah menengah, sekolah rendah? Kalau tidak ada sekolah, mesti ambil beberapa blok di situ.
“Kalau tiada (sekolah), satu blok boleh diteruskan, satu blok mesti ditangguhkan sehingga syarat-syarat ini dipenuhi. Kalau jauh, macam mana ibu bapa nak hantar, anak-anak nak berjalan ke sekolah, bagaimana keselamatan anak-anak dengan kes jenayah sedang berleluasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Pembangunan Unit Rumah Residensi Wilayah dan Ruang Penjaja Madani di Bandar Tasik Permaisuri, di sini hari ini.
Menurutnya, bukan sahaja sekolah, namun prasarana lain seperti kemudahan parkir, taman permainan kanak-kanak, infrastruktur kesihatan serta balai polis perlu disertakan sekali dalam pelan pembangunan perumahan bagi kemudahan rakyat.
Terdahulu, Anwar bersama-sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa melakukan gimik pecah tanah bagi merasmikan pembangunan unit Rumah Residensi Wilayah.
Anwar juga meminta semua pihak terlibat dengan projek perumahan Rumah Residensi Wilayah ini untuk datang ke bersemuka dengannya Isnin depan bagi membentangkan kembali kerangka pembangunan.
“Minggu depan Isnin, pemaju dan datuk bandar dan semua yg bertanggungjawab datang ke pejabat. Saya nak tahu mana sekolahnya, tadikanya, prasekolahnya, blok kemudahan kesihatannya.
“Saya kurang puas hati tentang tiada fasiliti pendidikan, ini kan projek baharu mana mungkin projek baru tiada prasekolah, arahan saya jelas,” ujarnya.
Beliau turut menekankan agar projek perumahan ini dijalankan secara telus, bersih, memenuhi konsep Madani serta dipercepatkan bagi mengelakkan rakyat berasa terbeban.
Anwar berkata, pihaknya tidak mahu mana-mana jabatan terpalit dengan urusan komisyen serta rasuah sehingga rakyat perlu menunggu bertahun-tahun lamanya untuk projek perumahan disiapkan.
“Sebab itu saya mintak hal ini diberi perhatian sepenuhnya oleh perancang supaya dalam rundingan dengan pemaju, ia (konsep Madani) akan dipenuhi,” katanya. – KOSMO! ONLINE