SUNGAI PETANI – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja seberat 68 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM2.4 juta selepas menahan lima suspek termasuk pasangan suami isteri di daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan pertama, tiga suspek lelaki berusia antara 24 dan 26 tahun ditahan di tepi jalan berdekatan Lot 88 di sini pada pukul 1.30 tengah hari, 3 Ogos lalu.
“Hasil pemeriksaan menemukan 64.6 kilogram (kg) bunga ganja di dalam lima bagasi yang diletakkan di dalam but kereta
“Susulan tangkapan pertama, kita bertindak menyerbu sebuah rumah di SP Saujana Permai dan menemui 2 kg bunga ganja yang disimpan di dalam peti sejuk di rumah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Kata Adzli, seterusnya dalam serbuan ketiga sehari selepas itu, pihaknya menahan dua wanita berusia 24 dan 25 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket terbabit.
“Wanita berusia 26 tahun itu merupakan isteri kepada suspek pertama yang disyaki dalang utama dan bekerja sebagai along,” ujarnya.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan penduduk tempatan yang dihantar menaiki sebuah kenderaan sambil diekori sebuah lagi kenderaan sebagai kereta pengawal untuk mengambil bekalan dadah di negara jiran menerusi Bukit Kayu Hitam. – KOSMO! ONLINE














