PETALING JAYA – Pemaju projek Residensi Wilayah Aman Lumayan, Danau Lumayan Sdn. Bhd. sedia mempertimbangkan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diwujudkan sekolah vertikal di kawasan berkenaan.
Pengarah Urusan Danau Lumayan, Shahril Reza Shaheen berkata, saranan Perdana Menteri adalah langkah itu bagi menampung keperluan penduduk residensi itu serta kawasan sekitarnya.
Bagi mencapai hasrat itu, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Wilayah Persekutuan bagi meneliti semula beberapa keperluan selaras dengan konsep perumahan madani.
“Jika ada ruang, kita akan teliti semula keperluan untuk bina sekolah di tapak Aman Lumayan atau dibina di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Projek Residensi Wilayah Aman Lumayan di Cheras hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap merasmikan projek itu mahu perumahan melebihi 3,000 unit dilengkapi kemudahan pendidikan dari pra sekolah sehingga menengah termasuk ruang sekolah vertikal (bertingkat), sebagai syarat utama pembinaannya.
Menurut Anwar, ia selaras dengan konsep perumahan madani rakyat, meliputi penyediaan kemudahan asas menyeluruh dan berpusat mengambil kira keperluan pelbagai golongan.
Bagaimanapun Shahril Reza berkata, syarat diletakkan itu wajar mengambil kira ruang tanah yang semakin terhad khususnya di kawasan bandar.
“Kita tahu tanah amat terhad khususnya di bandar, jadi dengan pembangunan semakin pesat, ia sebagai peringatan juga kepada pemaju supaya tidak mengabaikan syarat-syarat asas ini.” katanya.
Projek Residensi Wilayah Aman Lumayan membabitkan pembinaan 3,438 unit kediaman berharga RM300,000 turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti tadika, ruang niaga, parkir, surau dan kolam renang.
Projek kediaman mampu milik itu dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.01 bilion di Bandar Sri Permaisuri, Cheras melalui tiga fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A, dan Fasa 2B yang akan siap dalam tempoh lima tahun.
Shahril Reza berkata, tempahan dan pendaftaran pembelian akan dibuka seawal bulan ini.-KOSMO! ONLINE