RAUB – “Saya tak mahu abaikan cita-cita, tetapi saya juga tidak mahu bebankan mak ayah yang dah terlalu banyak berkorban.”
Itu luahan seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, Muhd. Alif Najmi Muhd. Nor Faizal, 20, yang kini berdepan dilema apabila hasrat menyambung pengajian ke sebuah Institut
Pendidikan Guru (IPG) mengalami kesukaran akibat kekangan kewangan keluarga.
Dia yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.67 dalam peperiksaan STPM baru-baru ini ditawarkan ke sebuah IPG di selatan tanah air, namun keluarganya tidak mampu menyediakan kelengkapan sambung belajar itu.
Muhd. Alif berkata, bapanya, Muhd Nor Faizal Ramli, 41, bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Negeri Sembilan dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.
Ibunya, Amizaliana Baharom, 41, pula baru sahaja ditamatkan kontrak sebagai pekerja pembersihan di sebuah kilang sawit.
“Saya anak sulung daripada empat beradik. Saya ada lagi dua orang adik masing-masing berusia 18 dan lapan tahun yang masih bersekolah. Manakala adik bongsu baru berusia dua tahun.
“Saya rasa nak tangguh dulu masuk ke IPG dan kerja dulu bantu mak ayah. Tetapi bila fikirkan balik ini adalah peluang terbaik saya untuk ubah hidup dan membantu mak ayah apabila saya bergelar seorang guru kelak,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tersang 2, di sini semalam.
Muhd. Alif, walaupun dia ada memohon pelbagai bantuan termasuk zakati tetapi masih belum ada jawapan.
“Di IPG nanti saya akan dapat elaun RM530 sebulan, tetapi saya runsing soal kelengkapan ketika pendaftaran 11 Ogos nanti. Saya harap ada pihak yang ingin bantu untuk saya ubah kehidupan,” ujarnya,
Orang ramai yang ingin membantu boleh hubungi Muhd Alif di 011 5842 4298.