KUALA KRAI – Kebimbangan yang disuarakan seorang lelaki warga emas, Othman Jusoh, 74, kira-kira lima tahun lalu bahawa dia akan menjadi mangsa anak sendiri menjadi kenyataan selepas mangsa dibunuh kejam di Kampung Kuala Gris, di sini hari ini.
Isteri mangsa, Rohana Che Daud, 64, berkata, dia masih tidak menyangka anak sulungnya sanggup melakukan perbuatan kejam tersebut.
“Kata-kata arwah suami lima tahun lalu menjadi kenyataan apabila dia meninggal dunia dibunuh anak sendiri.
“Sebelum ini, arwah suami pernah memaklumkan kepada pihak polis bahawa dia bimbang jika kejadian yang tidak diingini berlaku sebelum anaknya dipenjarakan selama lima tahun akibat kes penyalahgunaan dadah,” ujarnya ketika ditemui di sini, hari ini.
Rohana berkata, anaknya itu dibebaskan pada Jun lalu dan sering berhalusinansi dan suka bercakap seorang diri semasa berada di rumah.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, suspek yang dipercayai memukul bapanya dengan kerusi kayu di rumah mereka itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Mazlan berkata, lelaki yang berusia 39 tahun itu merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai selepas ditahan atas kesalahan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, suspek keluar dari penjara pada awal bulan lalu dan tinggal bersama mangsa dan ibunya.
Menurutnya, arwah suaminya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Gris, di sini selepas selesai proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE