PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda beberapa kawasan di seluruh negara sehingga pukul 10 pagi ini.
Amaran yang dikeluarkan itu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara kawasan yang diramal terjejas termasuk Langkawi, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah dan seluruh negeri Pulau Pinang.
Menurut MetMalaysia, sebahagian daerah di Perak seperti Kerian, Larut Matang dan Selama, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim turut dilanda cuaca buruk pagi ini.
“Di Kelantan, amaran yang sama dikeluarkan melibatkan kawasan Gua Musang, manakala di Pahang meliputi daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Jerantut.
“Bagi negeri Selangor pula, kawasan terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, manakala di Negeri Sembilan melibatkan Seremban, Port Dickson dan Rembau serta seluruh Melaka,” lapor MetMalaysia.
Dalam laporan sama, MetMalaysia menambah hujan lebat serta ribut petir huga tertumpu sekitar Sabah membabitkan bahagian Pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort, serta kawasan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) serta Tawau, Kunak dan Semporna.
Di Sarawak pula, kawasan Limbang (Lawas) turut disenaraikan dalam amaran tersebut, selain keadaan sama tertumpu sekitar Wilayah Persekutuan Labuan. – KOSMO! ONLINE