CYBERJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menzahirkan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam usaha meneroka potensi tenaga nuklear di negara ini.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, tenaga nuklear adalah antara bidang strategik yang telah lama diberi tumpuan.
Malah, katanya, sebelum ini MOSTI telah memainkan peranan penting dari aspek pembangunan teknologi, bakat dan kerangka regulatori.
“Penerokaan bidang nuklear itu bukan sesuatu yang baharu. Sudah tentu kami telah berbincang tentangnya.
“Tetapi kali ini dengan sokongan jelas kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kita mengorak langkah secara menyeluruh dan terancang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Diploma Sains Demi Kesejahteraan Serantau ASEAN di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RMK13 baru-baru ini memaklumkan kerajaan mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai satu daripada sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat. – KOSMO! ONLINE