JOHOR BAHRU – Isu ketirisan subsidi bahan api negara kembali menjadi perhatian apabila ada rakyat Singapura terus mengambil kesempatan membeli minyak petrol RON95 di beberapa stesen minyak di sekitar Johor.
Walaupun perkara ini telah berulang kali berlaku, namun insiden terbaharu yang memaparkan seorang lelaki sedang mengisi minyak RON95 ke dalam tong plastik dari kenderaan mewah bernombor pendaftaran Singapura telah menimbulkan kemarahan rakyat tempatan.
Malah, kerajaan sebelum ini turut mendedahkan negara kerugian sekitar RM4.3 juta setiap hari akibat ketirisan subsidi, termasuk penyeludupan dan pembelian haram diesel serta petrol.
Hasil pemerhatian dan tinjaun mendapati, warga Singapura menjalankan kerja ‘mencuri’ RON95 bersubsidi selepas waktu pejabat iaitu antara pukul 5 petang sehingga lewat malam.
Pengerusi Persatuan Bersatu Hak Pengguna Negeri Johor, Abdul Rahman Kunju Mohamed berkata, mereka memilih waktu berkenaan kerana beranggapan anggota penguatkuasa sudah habis waktu bekerja.
“Bagi warga Singapura, waktu inilah yang paling sesuai untuk membeli minyak subsidi RON95.
“Biasanya, aktiviti ‘curi’ petrol RON95 juga berlaku pada waktu puncak terutama hujung minggu. Ramai warga asing masuk ke negara kita untuk berbelanja dan makan-makan. Namun, semasa mahu balik ke negara mereka, stesen-stesen minyak dipenuhi dengan kenderaan asing.
“Keadaan sesak menyebabkan pekerja di pam minyak tidak dapat memantau, jadi waktu inilah mereka lakukannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambah beliau, lokasi tumpuan adalah di sekitar pintu masuk keluar negara seperti di Seberang Tambak dan Linkedua, Gelang Patah iaitu lokasi strategik kerana berdekatan dengan sempadan Malaysia-Singapura.
Abdul Rahman turut mendakwa, ada pemilik stesen minyak memberi arahan kepada pekerja agar tidak menghalang pembelian oleh warga asing demi kepentingan perniagaan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengguna Bumiputera Negeri Johor, Amin Samad pula mendakwa, isu ketirisan melibatkan subsidi RON95 mungkin melibatkan rasuah kecil dalam kalangan orang bawahan.
“Kami terima maklumat, ada pekerja asing di stesen minyak menerima ‘tips’ daripada pemandu Singapura. Bila sudah diberi tips, mereka pejam mata sahaja,” katanya.
Susulan isu ini, ramai pihak mengesa pihak berkuasa untuk memperketatkan penguatkuasaan, termasuk pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), pemeriksaan mengejut dan mengenakan tindakan tegas terhadap stesen minyak yang gagal mematuhi larangan penjualan RON95 kepada kenderaan asing.
Rata-rata pengguna tempatan turut mendesak agar tindakan tegas dikenakan bukan sahaja terhadap pembeli, tetapi juga kepada mereka yang bersubahat termasuk pemilik stesen dan pekerja terlibat.
Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor telah membuka kertas siasatan berhubung kereta bernombor pendaftaran Singapura yang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Nusa Sentral, Iskandar Puteri, Ahad lalu.
Tindakan itu diambil susulan aduan tular menerusi hantaran di media sosial menunjukkan perbuatan individu itu yang turut menuang petrol RON95 ke dalam tong plastik.
Menurut kenyataan KPDN Johor, kejadian itu dikesan berlaku di kawasan Iskandar Puteri dan telah mendapat perhatian pihak berkuasa terbabit.
“Sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Johor telah menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak terlibat.
“Siasatan yang dijalankan ialah dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), memeriksa resit pembelian serta mendapatkan maklumat daripada pemilik stesen minyak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, KPDN Johor turut memberi amaran kepada pengusaha stesen minyak agar lebih berwaspada dan memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
“Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika melibatkan individu.
“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.















