PETALING JAYA – Serangan sekumpulan individu bersenjatakan parang di sebuah rumah milik seorang ahli perniagaan di Jalan Bukit Gasing, di sini hari ini, tidak mempunyai kaitan dengan kes mahkamah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, sebaliknya, suspek menyasarkan barangan berharga yang disimpan di dalam peti besi di kediaman berkenaan.
“Beberapa penjenayah bersenjata parang dan memakai penutup muka telah memecah masuk rumah dan membawa lari barangan berharga tersebut.
“Suspek dipercayai melarikan diri menggunakan laluan hutan di bahagian belakang rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Shahrulnizam enggan mengulas lanjut berhubung nilai dan jenis barangan harga yang dibawa lari.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan iaitu samun menggunakan senjata.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang ahli perniagaan yang juga saksi penting kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang cedera selepas diserang sekumpulan individu di kediamannya di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7.10 pagi.
Difahamkan, mangsa mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan, manakala dua pengawal keselamatan yang bertugas di kediaman tersebut turut diikat oleh kumpulan penyerang berkenaan.
Ahli perniagaan itu dipercayai merupakan saksi pendakwaan utama dalam perbicaraan kes berprofil tinggi. – KOSMO! ONLINE