LONDON – Prinsipal pasukan McLaren, Zak Brown, percaya Formula Satu (F1) kini berada dalam keadaan lebih ‘tenang’ tanpa kelibat bekas ketua pasukan Red Bull, Christian Horner.
Brown yang sering bertikam lidah secara terbuka dengan Horner, percaya F1 berada dalam keadaan lebih sihat selepas pemecatan mengejut Horner daripada Red Bull.
Katanya, pelantikan Laurent Mekies sebagai pengganti Horner adalah satu perkara yang cukup sempurna dalam sukan F1 dan menjangkakan hubungan kedua-dua pasukan lebih harmoni.
“Kita boleh berbincang mengenai perkara baik untuk sukan ini tanpa bimbang ia dimanipulasi untuk kepentingan politik.
“Saya gembira Laurent berada dalam jawatan ini. Saya mengenalinya sejak lama dan ini akan menjadikan suasana lebih sihat. Mungkin kita boleh kembali fokus kepada persaingan di litar,” katanya.
Brown mengakui perseteruan bersama Horner pernah melampaui batas sehingga melibatkan tuduhan tidak berasas yang menjejaskan keharmonian sukan tersebut.
“Politik memang sebahagian daripada F1, seperti isu ‘flexi-wing’, tetapi bila masuk dengan tuduhan melulu, itu sudah terlalu jauh. Sekarang, politik tetap ada, tetapi tidak melampaui batas,” jelasnya.
Brown turut memuji persaingan sengit tetapi mesra dengan Ferrari musim ini yang diketuai Fred Vasseur, menyifatkannya sebagai contoh persaingan yang baik untuk peminat. – AGENSI