PERLAWANAN Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim baharu nanti boleh dianggap persis aksi menentang skuad kebangsaan Harimau Malaya.
Pemerhati bola sepak tanah air, Sulaiman Hussin menegaskan itulah antara dilema serta cabaran yang bakal dihadapi oleh kelab Liga Malaysia (Liga M) menjelang aksi pembuka tirai liga domestik yang bermula secara rasmi pada Jumaat ini.
Kata Sulaiman, terdapat dua situasi persiapan yang mungkin perlu dilakukan oleh semua pasukan yang bertanding pada saingan liga musim baharu nanti.
“Saya boleh katakan ada dua kategori pasukan yang akan bermain dalam menentang pasukan JDT. Satu, pasukan itu akan membuat persiapan rapi kerana lawan JDT nanti boleh dikatakan umpama menentang pasukan nasional dengan ramai pemain Harimau Malaya di sana.
“Ada satu lagi pasukan mungkin pasrah dan simpan pemain terbaik kerana kerana mereka tahu lawan pasukan JDT ni, peluang untuk menang tu mungkin kurang.
“Saya tak nampak pasukan-pasukan dalam Liga Super ini memiliki peluang untuk menang kerana saya rasa agak tipislah. JDT sememangnya berada dalam kelas yang lebih tinggi ketika ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sebagai rekod, JDT telah mengukuhkan pasukan pada jendela perpindahan kali ini dengan menandatangani bintang tempatan dan pemain warisan baharu seperti Ibrahim Manusi, Hector Hevel, Jon Irazabal dan Joao Figueiredo.
Skuad Harimau Selatan turut memiliki ramai pemain yang sebelum ini menjadi pilihan wajib dalam skuad kebangsaan seperti Arif Aiman Hanapi, Ahmad Syihan Hazmi, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Romel Morales dan Afiq Fazail.
JDT yang dikendalikan oleh Xisco Munoz berpotensi untuk menjulang trofi pertama ketika bertemu Selangor FC pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.