MELAKA – Seorang suri rumah bertindak melarikan diri bersama enam anaknya dari Melaka ke Kuala Lumpur selepas perbuatan suami merogol salah seorang daripada mereka sejak 10 tahun lalu terbongkar, Sabtu lalu.
Menurut sumber, mangsa yang kini berusia 18 tahun akhirnya membuka mulut selepas suspek yang bekerja sebagai mekanik dikatakan turut cuba melakukan perkara sama terhadap adik-adiknya.
“Pada pukul 10 malam ketika berada di kediaman di Tambak Paya, mangsa memberitahu kepada ibunya bahawa dia telah dirogol oleh bapa kandungnya sejak berusia lapan tahun lagi.
“Dia bagaimanapun merahsiakannya kerana telah diugut suspek agar tidak memberitahu sesiapa dan adik-adiknya juga memaklumkan bapa mereka cuba melakukan perkara sama,” katanya.
Tambahnya, wanita berusia 41 tahun itu sebelum ini ada mengesyaki perbuatan suaminya tetapi tidak bertanyakan hal tersebut kerana tiada bukti.
“Suspek juga dikatakan selalu memukul anak-anaknya sehingga menyebabkan luka parah tetapi wanita itu tidak membuat laporan polis kerana turut diugut.
“Sejurus dimaklumkan kejadian itu, suri rumah itu terus membawa kesemua enam anaknya melarikan diri pada pukul 12.30 tengah malam ke Kuala Lumpur dengan bantuan abang kandungnya,” ujarnya.
Katanya lagi, ibu itu kemudian membuat laporan polis telah dan membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kini suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE