KUALA LUMPUR – Hajat skuad bola sepak wanita Bawah 20 Tahun (B-20) negara raih kemenangan tidak terlaksana apabila tewas 0-3 kepada Iran pada aksi pertama Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Penyudah tumpul menjadi faktor utama kepada kegagalan ini memandangkan skuad negara dihidangkan sekurang-kurangnya empat peluang terbaik untuk merobek gawang lawan.
Minit ke-13, kegagalan penyerang negara, Kaseh Carlmila menyempurnakan peluang membuka peluang buat Iran melakukan serangan balas hingga memperoleh gol pertama menerusi Maryam Dini.
Selang 10 minit selepas itu, Kaseh sekali lagi berpeluang meledak gol buat skuad negara sebaliknya kali ini penjaga gol lawan, Atena Tofigh bertindak cemerlang.
Berpunca daripada situasi kelam kabut pada minit ke-28 membuka peluang buat Maryam meledak gol kedua, manakala jaringan skuad negara menerusi Tegen Butler pada minit ke-33 dibatalkan kerana dikesan offsaid.
Empat minit selepas aksi bersambung, skuad negara sepatutnya sudah mampu memperoleh jaringan pertama apabila dihadiahkan sepakan penalti namun Atena sekali lagi cemerlang menafikan sepakan Butler.
Selain pendekatan Iran yang bermain dengan lima pertahanan, aksi longgar pemain negara juga membataskan usaha untuk mendapatkan jaringan sekali gus menghadiahkan kemenangan buat pelawat.
Sebaik memasuki masa kecederaan babak kedua, Iran segera mematikan sisa perjuangan skuad negara apabila meledak gol ketiga menerusi Asal Ghajarian. – KOSMO! ONLINE