NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi Bea Sobar Bea Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail bersama suami dan empat rakan yang dibebaskan sepenuhnya dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat dijangka pulang ke Kelantan, pagi esok.
Kesemua mereka perlu bermalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Mueang, di sini hari ini sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Pekan Sungai Golok untuk urusan dokumentasi.
Selepas itu, mereka dibenarkan pulang ke Kelantan pagi esok melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang esok.
Polis Diraja Malaysia kemudian akan memanggil Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, tindakan memanggil kesemua mereka untuk memberi keterangan selain diambil sampel air kencing untuk saringan. – KOSMO! ONLINE