fbpx
Liew Chin Tong di Dewan Rakyat hari ini. Foto JAPEN

Dewan Rakyat: Kerajaan kaji syarat lokalisasi pelabur asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji kemungkinan memperkasakan syarat-syarat lokalisasi kepada pelabur asing bagi mewujudkan ekosistem berdaya tahan di Malaysia agar syarikat-syarikat tempatan mendapat limpahan hasil.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, langkah itu bertujuan memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat manfaat melalui pelaburan domestik dan asing yang baharu, dalam usaha membina syarikat Malaysia sebagai syarikat multinasional (MNC).

“Perlu ada perubahan pemikiran kerana selama ini syarikat-syarikat kecil dan PMKS dianggap hanya mampu menyokong gergasi korporat syarikat multinasional (MNC) asing.

“Pemikiran baharu itu meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia dan potensi mereka untuk menjadi MNC berasaskan teknologi yang mampu memainkan peranan besar di persada dunia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang meminta maklumat mengenai status dan keberkesanan rundingan antara Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengenai pelaksanaan tarif timbal balik.

Wee juga meminta Liew menyatakan jaminan kerajaan susulan tempoh ketidakpastian itu supaya ia tidak akan menjejaskan perdagangan, rantaian bekalan dan sektor PKS di Malaysia.

Menurut Liew, kerajaan yakin bahawa langkah-langkah awal yang telah dilaksanakan dan perancangan mitigasi yang rapi, dapat mengurangkan impak negatif pelaksanaan tarif timbal balas oleh AS ke atas Malaysia secara khusus.

“MITI bersama agensinya, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut mengambil langkah-langkah mitigasi bagi menangani impak tarif timbal balas dengan mempelbagaikan pasaran eksport negara.

“Ia dilaksanakan dengan meneroka destinasi baharu di pasaran bukan tradisional dan memperkukuh rangkaian eksport produk Malaysia, terutamanya ke negara-negara pasaran baharu yang sedang pesat membangun di Asia Tengah, Asia Selatan, Timur Tengah, Benua Afrika dan ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI