PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak sehingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran yang dikeluarkan itu melibatkan Perak (Hulu Perak), Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang) serta hampir seluruh Terengganu termasuk Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.
Beberapa daerah di Pahang seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Kuantan, Pekan dan Rompin turut terjejas, selain dijangka melanda Selangor termasuk Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu turut melanda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka (Alor Gajah dan Jasin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
Sementara itu, MetMalaysia memberitahu, hujan lebat serta ribut petir dilaporkan tertumpu sekitar Sarawak merangkumi kawasan Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit) serta Bintulu.
“Di Sabah, hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Sandakan) serta Kudat,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE.