PONTIAN – Seorang anak nelayan menzahirkan rasa terharu apabila menerima sumbangan membeli kelengkapan untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM), Seremban, Negeri Sembilan.
Law Yung Sen, 18, merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup menerima sumbangan daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup.
Menurut Yung Sen, ayahnya, Law Kim Hua, 67, bekerja sebagai seorang nelayan sepenuh masa, manakala ibunya, Ng Lie Fa, 54, merupakan suri rumah.
“Saya syukur dan berterima kasih kepada ADUN Kukup, Datuk Jefridin Atan kerana sudi membantu meringankan beban keluarga dengan menyediakan kelengkapan untuk sambung belajar di IPG nanti,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Air Masin, Kukup, di sini.
Tambah Yung Seng, dia memilih bidang Pendidikan Sejarah dan kemasukan ke IPG diharap dapat membantu keluarganya memperoleh kehidupan lebih baik pada masa akan datang.
Sementara itu, Jefridin berkata, pemilihan pendidikan sejarah oleh Yung Seng satu bidang yang penting dalam membentuk kefahaman generasi akan datang terhadap negara ini
Katanya, beliau juga memberikan nasihat kepada Yung Seng mengenai isu buli kerana isu buli bukan berlaku di sekolah harian, malah boleh berlaku di sekolah berasrama penuh, kolej dan juga universiti.
“Saya juga berharap pengurusan IPG di negara ini juga mengambil berat mengenai isu buli supaya semua pihak dapat saling bantu membantu kepada pelatih junior yang baru melaporkan diri,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE