PETALING JAYA – Sebuah nota tulisan tangan daripada seorang kanak-kanak lelaki kepada bapanya menyentuh hati pengguna media sosial.
Nota tersebut dikongsi oleh bapa kanak-kanak itu di laman TikTok selepas lelaki berkenaan menemani anaknya menerima rawatan di hospital.
Di dalam nota tersebut, kanak-kanak berkenaan meluahkan perasaan bersyukur kerana dijaga oleh bapanya ketika sakit.
Lebih menyentuh perasaan ialah apabila kanak-kanak tersebut turut menyelitkan wang RM10 sebagai tanda terima kasih kepada lelaki berkenaan.
“Abah, terima kasih jaga angah dekat hospital. Angah minta maaf sebab abah tak boleh kerja masa jaga angah.
“Angah minta dengan Allah bagi duit banyak ke abah dan ibu. Abah ambillah duit angah beli makanan. Angah sayang abah,” tulis nota tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna melahirkan perasaan sebak dan berharap agar kanak-kanak itu kembali sihat.
“Tahniah sebab melahirkan anak yang hebat dan kenang budi,” kata Kirr.
“Besarnya jiwa seorang angah, pandai ibu dan ayahnya mendidik, semoga angah dan semua adik beradiknya jadi anak soleh kebanggaan ibu dan ayahnya dunia dan akhirat,” kata Aishah.
“Allahuakbar…semoga angah sihat seperti sediakala. Angah, begitulah sikap seorg lelaki yang bergelar Abah. Kasih sayang senantiasa ada walau apapun yang terjadi,” kata Norsam. – KOSMO! ONLINE