fbpx
Seorang wanita warga Malaysia (tiga dari kiri) ditahan selepas mencuri wang peniaga di Betong, Thailand semalam.

Wanita Malaysia mencuri diberkas ketika berurut di Betong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BETONG, THAILAND – Seorang wanita warga Malaysia yang melarikan wang tunai lebih 30,000 baht (RM3,900) milik peniaga tempatan diberkas ketika berurut di sebuah premis di sini semalam.

Suspek yang berusia 55 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang selepas mencuri wang peniaga, Yukjen Saejen, 74, sewaktu masuk kedai mangsa di Terowong Piyamit, Mukim Tanae Marae di sini.

Pegawai Penyiasat Polis Daerah Betong, Leftenan Kolonel Phonchai Chuwanon berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12 tengah hari daripada mangsa berhubung kehilangan wang yang disimpan dalam beg tangan di premis berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian berlaku ketika ramai pelancong dan penduduk tempatan membeli-belah di lokasi itu yang merupakan destinasi bersejarah dan tumpuan pelancong.

“Suspek dilihat memasuki premis berkenaan dan mengambil beg tangan berisi lebih 30,000 baht sebelum menghilangkan diri.

“Siasatan lanjut ke atas CCTV yang dipasang di sekitar lokasi berkenaan mengesan suspek membuang beg mangsa di bawah pokok kira-kira 50 meter dari premis tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Phonchai memberitahu, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Betong bagi menghalang suspek melarikan diri dan pulang ke Malaysia.

Berdasarkan rakaman CCTV, polis berjaya mengesan suspek sebelum menahan wanita itu ketika berada di premis urut kira-kira pukul 2 petang. Turut dirampas mata wang Malaysia dan Thailand berjumlah 38,000 baht (RM4,900). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI