KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal menerima Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) jenis ANKA-S yang diperolehi daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) bagi Fasa 1 tahun hadapan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, TUDM juga akan meneruskan perancangan perolehan UAS dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai Fasa 2 bagi perancangan Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55)
“Kementerian Pertahanan sentiasa komited memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pertahanan negara sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
“Keutamaan perolehan Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) juga melibatkan beberapa langkah strategik daripada pihak ATM dalam merangka keupayaan menjelang RMK13,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung rancangan mengintegrasi penggunaan UAV dalam sistem pertahanan udara negara.
Adly berkata, UAS dan UAV mampu meningkatkan keupayaan ATM seperti peningkatan keupayaan kuasa tembakan, mobiliti, komunikasi dan logistik melalui domain daratan.
Menurut beliau, teknologi ketenteraan itu juga meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan serangan udara melalui domain udara.
Tambah beliau, ia juga meningkatkan keupayaan tempur maritim dan keupayaan daya tahan operasi maritim melalui domain maritim. – KOSMO! ONLINE