MELAKA – Suasana di pekarangan Mahkamah Ayer Keroh di sini, bertukar tegang apabila ahli keluarga orang kena tuduh (OKT) membabitkan kes samun menggunakan pisau cuba menghalang pemberita daripada membuat liputan pertuduhan tersebut.
Seorang wanita turut bertindak menolak jurukamera, selain cuba menghalang wartawan lain yang sedang mengambil gambar. Keluarga itu kemudian dilihat menghampiri jurukamera sujurus tertuduh selesai diiringi oleh anggota polis bagi tujuan konfrontasi kerana tidak berpuas hati.
Tindakan itu sempat dirakamkan dan keluarga terbabit hanya beredar selepas pemberita menegaskan kebenaran daripada pihak polis. Dalam sebutan kes di Mahkamah Sesyen itu, tertuduh Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan niat melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging dan melarikan wang tunai sebanyak RM202.80, tiga kotak rokok serta sebuah mesin pengimbas harga.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3 pagi di sebuah kedai serbaneka di Jalan Laksamana Cheng Ho 2 dalam daerah Melaka Tengah pada 29 Julai 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin kemudian mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 beserta syarat tambahan tertuduh melapor diri setiap dua minggu sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 2 September depan untuk serahan dokumen serta melantik peguam. – KOSMO! ONLINE